Aspirasi: Rasional agenda pembangunan modal insan

Bersama Radzi Latif
radzilatif@yahoo.com

 

SEJAK mencapai kemerdekaan hingga kini, Malaysia menyaksikan lima tokoh tersohor Melayu diangkat sebagai Perdana Menteri oleh penduduk berbilang kaum menerusi proses pilihan raya bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad

 

Kini, giliran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diangkat sebagai Perdana Menteri kelima selepas beliau dan parti pimpinannya iaitu Umno menerusi gabungan parti komponen Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan besar rakyat dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-11 lalu.

Melihat daripada gerak kerjanya, Abdullah mempunyai gaya kepemimpinan tersendiri. Jika Dasar Ekonomi Baru (DEB) mengutamakan aspek pembangunan fizikal dan material, Abdullah mengutamakan aspek pembinaan minda, kekuatan rohani, daya kreatif, penguasaan teknologi baru dan pengekalan integriti. Perdana Menteri mengutamakan aspek pembangunan modal insan dan ia membezakan Abdullah dengan rentak dan pola kepemimpinan negara sebelumnya.

Memang sukar bagi rakyat menghayati betapa strategiknya inisiatif pembangunan modal insan ini. Mereka lebih mudah terpesona apabila melihat Jambatan Pulau Pinang tersergam indah dan Menara Berkembar Petronas berdiri megah.

Namun, apabila direnung dan disoal, tidak adakah kontraktor tempatan mampu membina Jambatan Pulau Pinang. Mengapa kontraktor Korea Selatan dan Jepun membina Menara Berkembar Petronas yang dikenali sebagai Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC) itu. Rakyat terkedu betapa rendahnya tahap keupayaan modal insan dalam industri binaan, berbanding kontraktor negara luar seperti
Korea dan Taiwan.

Bagi mereka yang pernah menjadi mangsa kerenah birokrasi apabila berurusan dengan jabatan kerajaan yang tertentu untuk memohon lesen berniaga, berurusan dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan kelulusan pelan ubah suai rumah, gagal mendapat rumah murah sedangkan beliau tahu ada orang tidak layak, tetapi dengan tipu muslihat berjaya memperolehnya dan pelbagai kerenah birokrasi, tentu mereka ini akan bertanya pada diri sendiri.

Tidak mungkinkah prosedur ini dipermudahkan, urusan pemprosesan permohonan dipercepatkan, transaksi dijalankan lebih telus dan adil, manakala layanan diberi dengan lebih mesra. Persoalan itu sebenarnya yang ingin dijawab Perdana Menteri dengan mengajak rakyat memfokus kepada pembangunan modal insan.

Perkembangan yang amat menyeronokkan masa kini, menyaksikan semakin ramai rakyat mula faham dan semakin menghargai rasional dan alasan Perdana Menteri memfokuskan agenda pembangunan negara kepada aspek pembinaan modal insan.

Mereka mula melihat, mengerti dan menghargai rasional tindakan Perdana Menteri memajukan Institut Integriti Nasional bertujuan membina upaya modal insan membanteras rasuah, Program Latihan Khidmat Negara kelolaan Kementerian Pertahanan bertujuan membangun warga muda berdisiplin, berdaya tahan, berdaya kepemimpinan dan bersifat prihatin, program memperkasa tenaga muda kelolaan Kementerian Belia dan Sukan bertujuan membangun belia Tiga-K – menguasai kemahiran, kepemimpinan dan keusahawanan, program Islam Hadhari mengutamakan aspek ketamadunan umat seimbang atau apa yang dikatakan ummatan wasatan , projek ‘brain-gain’, penjenamaan semula kolej komuniti, pelan induk pendidikan negara, pelan pembangunan belia negara, lonjakan perkasa pendidikan luar bandar, melancarkan dasar sosial negara dan banyak lagi.

Terkini, usaha Perdana Menteri mewujudkan Pasukan Petugas Pemudah Cara Kerajaan (Pemudah) bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian oleh jentera kerajaan, memberikan isyarat berhubung fokus beliau terhadap pembangunan modal insan membabitkan jentera khidmat awam. Kejayaan Pemudah kelak akan merobohkan benteng kerenah birokrasi yang semakin menggugat kemasukan pelabur asing serta daya saing korporat di negara ini.

Satu daripada aspek terpenting berkaitan pembangunan modal insan yang wajar diberi tumpuan adalah aspek melahirkan barisan pemimpin Melayu yang berketrampilan, dikagumi, dihormati dan dipercayai.

Aspek ini amat penting memandangkan tahap kepercayaan rakyat untuk memberi mandat kepada kerajaan BN adalah berkait rapat dengan persepsi rakyat berkaitan populariti, kredibiliti dan integriti tokoh pemimpin Melayu, khasnya yang menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Menyedari hakikat ini, tidak hairan jika ada pelbagai usaha untuk mengkritik, menabur fitnah dan menyebar tohmah terhadap Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak. Namun, bak kata pepatah ‘berani kerana benar, takut kerana salah’, Abdullah dan Najib tetap maju memimpin negara dengan langkah yakin, gagah lagi perkasa memperhebatkan arus pembangunan ekonomi dan bukan ekonomi, tanpa mempedulikan tindakan ‘musuh’ yang gigih berusaha mengalih tumpuan rakyat kepada pelbagai spekulasi yang tidak berasas dan tanpa bukti nyata.

Yang nyata, umum menganggap kredibiliti dan tahap sokongan rakyat terhadap Abdullah dan Najib tidak terkesan oleh lontaran tuduhan liar tidak berasas. Namun, ia tidak bermakna barisan pemimpin Melayu yang lain pada peringkat Kabinet, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan akar umbi boleh lalai dan leka daripada fitnah dan tohmah musuh politik masing-masing.

Setiap pemimpin Melayu pada peringkat manapun perlu menyedari bahawa mereka akan dinilai secara positif oleh rakyat dari segi keupayaan mencerna wawasan, kebolehan menjana strategi dan pelan tindakan bagi mencapai wawasan, ketebalan iman dan taqwa, etika dan integriti, budaya mesra rakyat, kecekapan membuat keputusan, keupayaan membina semangat berkerja berpasukan, berupaya merangsang dan memberi motivasi kepada penyokong dan pengikutnya, mengamalkan budaya kerja berkualiti, mencintai ilmu serta tinggi daya inovasi ke arah membawa kemajuan untuk rakyat dari segi ekonomi dan bukan ekonomi.

Pastinya, Abdullah sudah memikirkan semua aspek kualiti kepemimpinan itu yang dituntut rakyat terhadap semua wakil rakyat Umno dan BN amnya. Justeru, beliau dengan sikap proaktif mewajibkan supaya disediakan kad prestasi setiap wakil rakyat. Kita boleh menjangka kesudahannya apabila beliau selesai menilai semua skor kad wakil rakyat yang sedang, sudah dan akan diterimanya.

Penulis ialah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)

 

Sumber : Berita harian

 

Kompilasi: GlobalPro Training & Development Sdn Bhd